Cara Mengajar Anak Membaca

Telah ramai pakar kanak-kanak yang bangkit menyatakan bahawa masa yang paling sesuai untuk mengajar apa sahaja kepada kanak-kanak ialah ketika kanak-kanak itu berusia bawah 3 tahun. Ramai yang berpendapat sebegitu. Jika melihat sejarah tokoh-tokoh Islam, mereka juga sudah belajar mengaji Al-Quran sejak masih kecil. Ibarat span yang menyerap air. Perkara ini diakui agak logik kerana perkembangan kematangan otak kanak-kanak yang dikaitkan dengan perkembangan pembelajaran mereka ketika masih kecil.           

Darwisy, berumur 2 tahun yang tekun melukis garisan di tengah-tengah kesesakan jalan raya.

Tahukah Anda Kadar Perkembangan Otak Anak Anda ?
  
a) 25% perkembangan kematangan berlaku sewaktu lahir.
b) 50% perkembangan kematangan berlaku sewaktu usia 6 bulan.
c) 85% perkembangan kematangan berlaku sewaktu usia 3 tahun.

Semasa dilahirkan, bayi biasanya mempunyai 1,000,000,000,000 ( 1 trilion ) hingga 1,200,000,000,000 (1.2 trilion) sel otak. Dalam tempoh setahun, saiz otak menjadi tiga kali ganda. Oleh kerana otak kanak-kanak berkembang pesat sewaktu usia 3 tahun ke bawah, sewajarnyalah kanak-kanak ini diberi pendedahan seawal mungkin kerana kemampuan otak menerima banyak input pada waktu itu. Walaupun hanya dengan memasang ayat-ayat Al-Quran, anda pasti akan terkejut apabila tiba-tiba mendengar mereka menghafal ayat-ayat Al-Quran.

Kelebihan mengajar kanak-kanak membaca pada peringkat awal umur:

1. Peringkat awal usia merupakan masa yang paling mudah untuk mereka memahami sesuatu khususnya pelajaran kerana otak mereka terdiri daripada sel-sel otak yang muda serta sangat berhubung antara satu sama lain .

2. Kanak-kanak lebih kuat dan cepat mengingati dan memahami sesuatu yang dipelajari secara berkumpulan dan menyeronokkan.

3. Sangat mudah mengajar membaca pada usia ini berbanding ketika mereka berusia 6 atau 7 tahun kerana mereka lebih mudah dikawal.
4. Kanak-kanak kecil tidak akan banyak ragam seperti marah, menangis, kerap menjerit dan tidak mendengar kata kerana membaca adalah sesuatu yang baru untuk mereka. 
5. Pengajaran awal akan membuatkan mereka menjadi lebih cepat dan petah bercakap.
6. Kanak-kanak akan lebih bijak dan cepat menjadi matang kerana pembacaan dan pengajaran menyebabkan mereka berfikir dan melihat dunia dengan lebih luas.

Banyak kaedah menarik yang dapat digunakan untuk mengajar anak yang berumur 3 tahun ke bawah ini. Ibu bapa perlu memanfaatkan anggota telinga dan mata anak-anak mereka dalam kaedah pembelajaran awal ini. Pasang video pembelajaran dan audio surah-surah Al-Quran terlebih dahulu sebagai permulaan jika anak masih berada bawah 3 tahun. Kepada ibu bapa yang masih lagi belum mempunyai anak dan merancang untuk mempunyai anak, bersiap-sedialah untuk mendendangkan ayat-ayat Al-Quran walaupun ketika bayi masih dalam kandungan.