Catatan diari anak : Tebal tetapi ringkas
Seronoknya membaca catatan diari seorang guru tentang anaknya. Guru yang sangat rajin dan tekun, melihat perkembangan anak-anaknya setiap hari. Ketika anak sudah rehat dan tidur, digunakan sepenuhnya untuk catatan perkembangan anak-anak. Walaupun hanya dicatat pada buku log yang berharga RM3.80, memori dan perkembangan anak-anak dapat dilihat dari seawal pendaftaran kemasukan anak ke tadika hingga sekarang. Ini menjadikan buku log yang berbalut pembalut hadiah itu tinggi harganya untuk ibu bapa mereka. Guru yang rajin dan ikhlas, menunjukkan catatan tentang anak kepada ibu bapa ketika Perjumpaan Guru dan Ibu Bapa. Komunikasi yang bagus, kini terlaksana kerana bukti hitam putih ada, gambar anak mereka ada. Eksploitasi? InsyaAllah, tiada kerana keikhlasan guru mereka.
Catatan Diari : Teacher Hidayah dan anak kesayangan beliau
Banyak komen mengenai guru yang tiada masa untuk membuat catatan tentang anak. Sebenarnya, semua ini boleh dimulakan dengan catatan ringkas. Lama kelamaan, guru-guru akan terbiasa dan seronok. Lebih-lebih lagi jika catatan tersebut bergambar dan berwarna-warni. Catatan diari sebegini boleh dimulakan dengan catatan mingguan, seterusnya menjadi catatan harian. Menarik, ringkas, mengikut susunan dan menjadi rujukan kepada guru dan ibubapa tentang perkembangan anak-anak. Siapa tahu, hubungan guru dan anak-anak berkekalan kerana catatan diari sebegini?