Anak-anak kecil yang sihat mempunyai tenaga yang lebih banyak berbanding orang dewasa. Maka tidak hairanlah jika bateri guru-guru dahulu yang mudah habis berbanding anak-anak menjelang sesi petang di tadika. Anak-anak menghasilkan hormon adrenalin yang tinggi setiap hari dan mereka perlu meredakan hormon tersebut dengan aktiviti fizikal. Jika di tadika, senaman pagi dilakukan setiap hari diikuti dengan aktiviti di laman permainan tadika pada waktu petang, sebelum mereka pulang ke rumah. Waktu malam mereka di rumah? Tertidur keletihan seawal jam 9 malam.
Menjerit-jerit adalah berpunca dari ketidakstabilan hormon adrenalin anak-anak
Semua ini berdasarkan pengalaman dan pemerhatian sepanjang menjaga dan mendidik anak-anak kecil. Anak-anak menangis kerana berasa TERANCAM, TIDAK SELESA, LAPAR DAN SAKIT. Atasi semua ini dengan mempunyai jadual makan yang teratur, pengasingan mengikut umur dan kematangan, membantu mereka untuk menerima kawan-kawan baru serta guru baru dan sentiasa peka dengan kesihatan mereka.
Menjerit, mengganggu kawan-kawan sekelas, memberontak. Kebanyakannya berlaku kepada anak-anak yang berumur 6 tahun. Guru-guru sering terlupa akan keperluan mereka untuk bermain seperti adik-adik kecil mereka yang lain. Penekanan oleh guru kepada mereka kebanyakannya bertumpu pada akademik. Logiknya, guru-guru sangat menekankan skill membaca, mengira dan berkomunikasi sebagai persediaan memasuki alam darjah satu di sekolah rendah. Waktu bermain? Semakin kurang tanpa disedari. Hormon adrenalin yang memuncak? Diluahkan dengan menjerit-jerit di dalam kelas dan melompat-melompat.
Bantu anak-anak berumur 6 tahun ini dengan memberi peluang untuk mereka meredakan hormon adrenalin mereka melalui aktiviti fizikal pada pagi hari dan di laman permainan pada petang hari. Ingatkan mereka supaya menjaga suara dari menjerit-jerit dengan keterlaluan dan tukarkan kepada aktiviti fizikal yang lebih aktif. Penukaran tenaga dalaman kepada aktiviti fizikal.
Seperti mana setiap tubuh perlu menyahtoksidkan sesuatu setiap hari, begitu jugalah dengan anak-anak yang memerlukan sesuatu aktiviti untuk menyahkan tenaga berlebihan yang perlu distabilkan.