Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Ibunda dan ayahanda yang dirahmati Allah sekalian. Sedang meneliti dan mempelajari cara-cara untuk memilih dan mendaftar anak-anak ke tadika...?
Kami di institusi ini terdiri daripada isteri, kakak, ibu saudara, sahabat dan seorang ibu. Begitu kami memahami situasi seorang ibu ayah dan lebih-lebih lagi jika anak yang ingin didaftarkan adalah anak yang pertama. Kami memahami situasi ibu ayah sekalian, permata yang baru permulaan hendak dicanai mestilah betul tempat pencanainya. Dalam kesibukan ibu ayah mencari nafkah disiang hari,sudah semestinya institusi yang terbaik hendak dipilih bagi membantu ibu ayah membentuk permata bernilai yang dimiliki.
Untuk pengetahuan ibu dan ayah, perlulah dibezakan antara TADIKA dan TASKA. Sesuaikan carian institusi berdasarkan umur anak anda. Jika anak berumur antara 6 bulan sehingga 4 tahun, perlulah ibu ayah berhubung dengan pihak TASKA untuk mendaftar. Sekiranya anak ibu ayah berumur 3 tahun hingga 6 tahun, bolehlah hubungi pihak TADIKA untuk mendaftar. Sekiranya khidmat yang diperlukan adalah untuk anak-anak Transit dan Asuhan, perlulah ibu ayah merujuk pihak institusi yang membuat khidmat Pusat Asuhan atau Transit di tempat mereka.
Disini kami kongsikan beberapa tips berguna (pendaftaran TADIKA) sebagai bahan perkongsian dalam mencari kesesuaian institusi terbaik untuk anak anda semua.
INSTITUSI BERDAFTAR
Ibu ayah boleh memeriksa lesen pendaftaran institusi melalui portal internet yang disediakan atau menghubungi pihak Jabatan Pendidikan Negeri sendiri bagi memastikan tadika berdaftar dibawah kementerian. Tiada salahnya untuk ibu ayah meminta nombor lesen tadika sebagai rujukan. Hal ini sangat penting untuk tapisan yang pertama. Ini kerana, pihak Kementerian sendiri sudah membantu ibu ayah menapis institusi tersebut untuk mencapai minimum standard kualiti institusi pendidikan pra sekolah. Pelbagai aspek yang diselidiki oleh Kementerian seperti aspek kesesuaian lokasi, keselamatan, infrastruktur dan silibus telah dipantau sebelum lesen berdaftar diberi kepada pemilik institusi. Pihak Kementerian seolah-olah telah memberi petunjuk utama kepada pilihan institusi oleh ibu ayah,memberi tali penghubung kepada tips seterusnya dalam pemilihan institusi untuk permata kesayangan.
APA TARGET IBU AYAH PADA ANAK ?
Sekiranya ibu ayah mengutamakan perkembangan adab dan akhlak harian anak-anak, carilah institusi yang jernih dalam mendidik adab dan akhlak anak-anak.
Jika ibu ayah mengutamakan penggunaan Bahasa Inggeris untuk anak-anak, maka carilah institusi yang 100% kakitangan yang bertutur dalam bahasa Inggeris.
Untuk pengetahuan ibu ayah, mana-mana institusi tadika berdaftar dengan Kementerian Pendidikan perlu mematuhi Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK). Didalam KSPK, sudah termaktub elemen-elemen penting untuk perkembangan anak-anak seumur 3 hingga 6 tahun. Bagi institusi yang mendaftar dengan Kementerian Pendidikan, anak-anak berpeluang mengikuti aktiviti perkembangan-perkembangan yang tersusun oleh guru.
Institusi yang asasnya mengikuti KSPK dan menjalankan program mengikut kaedah 'Learn Through Play' membantu ibu ayah menyeimbangkan keperluan perkembangan anak-anak sebelum menjejaki kaki ke peringkat sekolah rendah.
Bagi institusi yang menyediakan khidmat 'daycare' yang mempunyai pengisian Islamik pada petangnya, bonus tersedia buat ibu ayah kalangan Muslim bagi membantu ibu ayah membentuk tatacara amalan harian sebagai Muslim dalam diri anak-anak.
SEMAK PENDAPAT IBU BAPA SEDIA ADA
Sekiranya ibu ayah mempunyai rakan-rakan sepejabat atau kejiranan yang menghantar anak mereka ke institusi yang telah diamati, minta pendapat serta pengalaman mereka dengan institusi terbabit. Pengalaman adalah ilmu termahal dan tiada salahnya mengetahui sorotan pengalaman mereka bersama institusi sebagai mencerna hari-hari yang bakal dilalui setelah anak dihantar ke institusi terbabit. Pengalaman yang bakal ditempuhi diinstitusi terbabit tidak akan sama kerana masing-masing mempunyai pendapat, proses pencernaan dan output berbeza terhadap layanan yang diterima. Namun begitu, dengan mengetahui pendapat dan pengalaman dari pihak yang sudah mempunyai pengalaman dengan institusi terbabit boleh membantu ibu ayah melihat tahap keserasian institusi terbabit dengan target ibu ayah sekalian terhadap anak yang bakal dihantar.
Komen perbualan dilaman sosial tidak semestinya betul serta 'genuine' dan bukanlah rujukan pertama untuk ibu ayah. Ibu ayah perlu membuka ruang untuk bersahabat dengan bakal pendidik dan penjaga anak-anak bagi memastikan komunikasi lancar. Justeri itu, serba sedikit info dari rakan taulan adalah pembuka kepada langkah ibu ayah mengenali institusi yang ingin didaftarkan.
TEMUJANJI DENGAN GURU
Pertemuan pertama ibu ayah harus disusun dengan baik dan tidak mengganggu sesi yang sedang dijalankan diinstitusi. Kebiasaannya, institusi yang beroperasi dari awal pagi hingga petang, guru-guru menfokuskan aktiviti 100% dengan anak-anak yang dididik dan diasuh. Jadi menjadi hak anak-anak yang sedia ada diinstitusi untuk menerima perhatian guru-guru mereka secukupnya. Kehadiran tetamu tanpa temujanji boleh mengganggu proses yang dijalankan oleh guru. Tidak bolehkah temu janji dilakukan hanya dengan pemilik dan penyelia? Harus diketahui, bahawa temu janji yang mencatat detik kecemerlangan adalah dengan melalui detik pertemuan dengan calon yang bakal melihat anak-anak ibu ayah dalam seharian tersebut diinstitusi. Ibu ayah perlu bertanya, adakah pemilik institusi atau penyelia tersebut bakal memantau anak-anak ibu ayah setelah mendaftar seharian? Jika YA, maka pertemuan pertama boleh diteruskan dengan pemilik atau penyelia tersebut. Jika TIDAK, maka ibu ayah perlu bertemu mata sendiri dengan guru-guru penjaga serta berkenalan rapat dengan bakal pembantu pencanai permata ibu ayah. Pertemuan dengan pemilik atau penyelia mungkin berkisar tentang sistem yuran dan visi misi institusi tersebut tetapi pertemuan dengan mata utama yang bakal memantau anak ibu ayah adalah demi mengetahui apakah info aktiviti yang diperolehi dari pemilik atau penyelia dituruti oleh guru-guru itu sendiri.
SEMAK KEUPAYAAN EKONOMI IBU AYAH
Struktur yuran oleh mana-mana institusi yang ditubuhkan adalah berdasarkan kiraan kos pihak institusi berkenaan. Tiada institusi yang sesuka hati meletakkan struktur yuran untuk dikenakan terhadap ibu bapa. Sekiranya sesebuah institusi disubsidi oleh pihak kerajaan atau NGO kebiasaannya struktur yuran yang dikenakan lebih murah berbanding institusi berdiri sendiri yang dipegang oleh perseorangan ataupun institusi berlesenkan jenama dan berfrancais. Ibu ayah perlu memastikan keupayaan untuk menjelaskan yuran tahunan dan bulanan kepada pihak institusi agar tidak berlaku sebarang tunggakan pembayaran kelak. Kegagalan ibu ayah membayar yuran sehingga tertunggak kepada 2 bulan boleh menyebabkan nama anak ibu ayah dibuang dari daftar nama sistem institusi. Struktur yuran yang dikenakan haruslah difahami dengan jelas oleh ibu ayah dan segala caj yang dikenakan dalam setahun pendaftaran anak diinstitusi terbabit agar tidak timbul caj tambahan secara tiba-tiba sepanjang tempoh setahun anak berada diinstitusi. Ibu ayah yang berpendapatan RM3000 ke bawah boleh mendaftar dengan institusi berdaftar dibawah Kementerian bagi mendapatkan elaun yuran bulanan oleh kerajaan. Sekiranya mendaftar dengan kerajaan negeri seperti Selangor, elaun yuran bulanan juga turut disediakan kepada anak yang layak. Ibu ayah perlu fahami, yuran mahal tidak semestinya baik untuk anak ibu ayah dan yuran murah tidak semestinya tidak baik untuk anak ibu ayah. Carilah institusi yang menawarkan kadar yuran yang munasabah dengan perkhidmatan yang diberikan kerana membentuk permata yang indah bukanlah satu tugas mudah dan semua proses menggilap permata ibu ayah memerlukan kos yang memadai dengan usaha institusi tersebut.
JARAK LOKASI DAN KESESUAIAN MASA MENGHANTAR DAN MENGAMBIL
Jika catitan nota-nota penting diatas sudah diambil kira dan diselidiki, maka jarak menghantar dan mengambil anak bukanlah menjadi batu halangan buat ibu ayah. Untuk mendapatkan permata yang berkualiti, institusi yang menjadi pilihan haruslah yang terbaik dihati ibu ayah. Jika kepercayaan dan keikhlasan ibu ayah sudah dapat disemai kepada institusi terbabit untuk membantu mendidik anak tersayang, maka sedikit pengorbanan masa dan minyak kereta untuk menghantar dan mengambil anak itu bukan lagi halangan besar buat ibu dan ayah.
INGIN TAHU skrip dan soalan kali pertama yang sesuai kepada Penyelia atau Pemilik, kami kongsikan disini.
Sekian, perkongsian info buat ibu ayah,
SITI ZULAIKHA BINTI OMAR
http://www.tadikashahalam.com